Empayer Hatiku

Friday, September 15, 2006

Buatmu suami

wahai sang suami, aku ini sama seperti isteri2 lain nya yg punya hati, perasaan
dan jiwa seorang perempuan.
Buat seketika...dengarlah... hayatilah...rintihan seorang isteri.
Keluhan seorang ibu, nukilan seorang aku yang bernama perempuan.
Selesai saja sebuah ijab qabul, maka...perempuan ini akan jadi milikmu.
Dialah teman sepertiduran, dialah rakan sepenghidupan, dialah sahabat seperjuangan
berjuang di dunia yang sementara ini demi sebuah kebahagiaan hakiki di alam sana kelak.
Bukankah itu matlamat kehidupan insan?
Wahai sang suami, engkaulah payung buat isterimu bernaung.
Engkaulah penglipurlara buat isterimu bergembira.
Engkaulah dahan kukuh buat isterimu berteduh.
Engkaulah ketua tempat isterimu mencurah taat setia.
Sesungguhnya...seorang yang bernama isteri itu, amat memerlukan bimbinganmu.
Amat berkehendakkan cinta dan kasih sayangmu.
Amat mendambakan sebuah pengertian dari engkau sang suami tersayang.
Wahai sang suami, tatkala mahu kau sakiti isteri, cuba kau berfikir sejenak...
bayangkan isterimu itu ibumu, letakkan ayahmu di tempat engkau sekarang
lantas...bayangkan engkau sedang menyaksikan sebuah penyeksaan.
Gambarkan seolah-olah engkau ini seorang anak kecil yang sedang memerhati ibumu.
Zahirnya terseksa menahan sakitnya rasa.
Batinnya merana menahan pedihnya.
Jiwa hatinya hancur luluh dek punahnya sebuah harapan.
Harapan seorang isteri yang bernama perempuan.
Wahai sang suami, sanggupkah engkau melihat ibumu diperlaku sebegitu?
Aku yakin ...tak akan ada seorang pun anak manusia yang sanggup melihat ibunya diseksa...dianiaya...didera...justeru...apa beza antara ibumu dan isterimu?
Kedua-duanya juga perempuan. Kedua-duanya juga isteri kepada seorang suami.
Mereka perlukan pembelaan, pengertian, dari seorang lelaki bergelar suami.
Wahai sang suami yang bergelar ayah, tatkala engkau sedang dirasuki syaitan.
Ketika engkau sedang membelasah isterimu.
Di satu sudut ... ada seorang anak kecil yang sedang memerhati,
melihat ibunya diseksa ayah sendiri, hinggakan...
tiada lagi airmata yang mengalir yang tinggal sekadar sekeping hati yang merana.
Yang ada hanyalah sebuah jiwa yang terluka.
Meskipun luka bakal sembuh, parutnya akan kekal bersama meningkatnya usia.
Tidakkah engkau kasihan akan anakmu itu?
Wahai sang ayah, cubalah engkau renung-renungkan.
Bila besar kelak, tatkala anakmu sudah dewasa nanti, bayangkan...gambarkan...
jika dianya lelaki...kalaulah dia juga jadi pembuli dan pendera seperti mu.
Jika dianya perempuan...kalaulah dia juga dibuli dan didera suaminya kelak.
Bagaimanakah perasaanmu nanti? ataukah engkau ini sudah tiada perasaan lagi?
mungkinkah engkau ini seekor haiwan yang bertopengkan manusia?
Berubahlah suami...berubahlah ayah...masih belum terlambat untuk mereka ...
menggapai bahagia dan sejahtera.
posted by Nona at 1:10 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home